Site icon TechNave BM

Pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca akan dibuka semula pada 23 Mei

Pada masa ini, beberapa ratus ribu penduduk Malaysia di sekitar Lembah Klang telah pun menerima suntikan vaksin AstraZeneca atau telah pun mendapat temujanji untuk mendapatkan vaksin tersebut. Ini adalah daripada pendaftaran yang telah dibuka kepada orang ramai pada 2 Mei lalu.

Kini Menteri Pemvaksinan COVID-19, Khairy Jamaluddin, telah mengatakan bahawa pendaftaran seterusnya untuk vaksin AstraZeneca akan dibuka pada hari Ahad, 23 Mei. Kali ini, pendaftaran akan diluaskan kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak di mana negeri-negeri tersebut mempunyai kes jangkitan yang tinggi.

Hanya penduduk berumur 60 tahun ke atas yang layak mendaftar. Pendaftaran akan dibuat melalui laman web dan klinik komuniti terpilih. Beliau juga mengatakan bahawa vaksin tersebut akan dihantar ke pusat penjagaan warga emas.

Perlu diingati bahawa pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca ini adalah berasingan dengan pendaftaran vaksin umum yang boleh dibuat dalam laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 atau aplikasi MySejahtera. Mereka yang berminat untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca pada 23 Mei nanti perlu membuat pendaftaran yang asing daripada pendaftaran vaksin umum.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan pengambilan vaksin ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version