Site icon TechNave BM

Pengecas 135W HUAWEI dapat pensijilan di China, mungkin hadir pada siri P50

Pada tahun lepas, kita telah dapat melihat telefon pertama dunia yang mempunyai pengecasan pantas melepasi 100W iaitu Xiaomi Mi 10 Ultra. Pada tahun ini pula, kadar pengecasan telefon dijangka akan terus menaik akibat dari teknologi pengecasan yang semakin mudah dihasilkan.

Terbaru, sebuah penyenaraian di agensi pensijilan China telah dikesan dan ia menunjukkan akan kehadiran pengecas 135W dari HUAWEI. Pengecas 135W ini dilihat mempunyai nombor model HW-200675CP0.

Penyenaraian itu menunjukkan sokongan pengecasan dari 5V/3A sehinggalah 20V/6.75A yang menyamai pengecasan pantas 135W. Buat masa ini, pengecasan terpantas dari HUAWEI adalah HUAWEI SuperCharge 66W yang digunakan oleh peranti siri Mate40.

Tindakan ini mungkin dilakukan oleh HUAWEI untuk mengejar kepantasan teknologi pengecasan syarikat lain seperti Xiaomi dan iQOO yang sudah mempunyai telefon dengan sokongan pengecasan 120W.

Berdasarkan sumber, pengecas ini bakal digunakan oleh telefon siri HUAWEI P50 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, HUAWEI pernah menyatakan bahawa mereka mempunyai teknologi pengecasan sehingga 200W!

Adakah anda teruja dengan pengecasan 135W dari HUAWEI ini? Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version