Laporan terbaharu mendedahkan bahawa peranti iPhone boleh lipat pertama daripada Apple masih berada dalam jadual pembangunan asal. Ia sekali gus menafikan dakwaan sebelum ini yang mengatakan pelancarannya akan ditangguhkan beberapa bulan.
Menurut sumber, pembangunan peranti tersebut berjalan seperti dirancang berdasarkan sumber dalaman yang mengetahui perkara itu. iPhone boleh lipat pertama Apple dijangka diperkenalkan sekitar September seiring dengan pelancaran model mercu akan datang iaitu iPhone 18 Pro.
Laporan turut menyebut bahawa iPhone boleh lipat dijangka mula dijual mungkin serentak dengan model Pro atau tidak lama selepas itu. Namun, bekalan awal mungkin terhad disebabkan kerumitan proses pembuatan khususnya melibatkan paparan boleh lipat serta komponen engsel yang dikatakan menggunakan teknologi cetakan 3D.
Walaupun jadual semasa menunjukkan pelancaran masih berada dalam perancangan asal, garis masa akhir masih boleh berubah memandangkan produk tersebut masih beberapa bulan sebelum pengeluaran besar-besaran dimulakan. Maklumat lanjut termasuk spesifikasi penuh dan harga dijangka hanya akan didedahkan semasa acara pelancaran rasmi kelak.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bloomberg

