Site icon TechNave BM

Pengguna Clubhouse kini boleh hantar dan terima wang tanpa sebarang caj

Clubhouse kini sudah pun dikenali sebagai aplikasi perkongsian audio popular yang setakat ini hanya boleh digunakan oleh pengguna iOS. Setakat ini ia masih tidak disediakan dalam platform Android namun pembina Clubhouse telah memperkenalkan sebuah fungsi pembayaran Clubhouse Payments di mana semua penggunanya boleh menghantar atau menerima wang.

Bermula hari ini, semua pendengar Clubhouse boleh mendermakan wang kepada pengacara audio kegemaran mereka namun setakat ini hanya sejumlah kecil yang boleh menerima wang tersebut. Penerimaan wang akan dilakukan secara beransur-ansur di mana lebih ramai pengguna akan menerima wang mereka dalam masa terdekat.

Clubhouse berbuat demikian bagi menguji fungsi baru ini dan untuk mendapatkan maklum balas daripada para pengguna tentangnya. Apa yang menarik tentang Clubhouse Payments adalah 100% daripada wang yang didermakan akan diterima oleh penerima manakala penderma pula akan dikenakan yuran kecil yang akan diberikan kepada rakan pembayaran Clubhouse, Stripe. Ini bermaksud Clubhouse langsung tidak mengambil sebarang komisyen daripada transaksi dalam Payments.

Nampaknya Clubhouse bakal menjadi sebuah platform yang menarik di mana pengguna boleh menjana pendapatan sampingan dengan mengacarakan kandungan audio yang menarik. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Clubhouse Blog

Exit mobile version