Site icon TechNave BM

Pengguna Gmail kini boleh semak status penghantaran pakej oleh kurier dalam “inbox”

Google telah mengumumkan ciri baharu untuk perkhidmatan emel Gmail iaitu penjejakan barang yang dibeli secara dalam talian. Ini akan memudahkan pengguna untuk menjejak status penghantaran barang yang dibeli tanpa perlu melayari laman web yang berasingan.

Untuk sebarang pesanan yang mempunyai nombor jejakan (tracking number), Gmail akan memaparkan status penghantaran terkini dalam senarai peti masuk (inbox) serta kad rumusan (summary card) di atas emel. Gmail akan menunjukkan status yang berkenaan seperti penciptaan label (label created), sampai esok (arriving tomorrow) atau dihantar hari ini (delivered today).

Gmail juga akan cuba mengurangkan keresahan jika penghantaran barang itu terpaksa ditangguh. Ia akan memaparkan label penangguhan (delay label) dengan lebih awal dan mengutamakannya dalam peti masuk Gmail.

Anda boleh gunakan nombor jejakan untuk semak status penghantaran dengan lebih mudah dalam tetapan Gmail. Pengguna juga boleh membatalkan penjejakan oleh Gmail ini pada bila-bila masa.

Buat masa ini, perkhidmatan penjejakan barang dalam Gmail hanya boleh digunakan untuk syarikat-syarikat kurier utama di Amerika Syarikat dan ia bertujuan untuk membantu para pelanggan yang bakal membeli banyak barang sempena musim Krismas. Setakat ini masih tiada maklumat untuk keberadaannya di Malaysia dan lain-lain negara.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google Blog

Exit mobile version