Site icon TechNave BM

Pengguna Touch ‘n Go eWallet digesa sahkan akaun sebelum 20 Disember 2024, elakkan akaun dikunci

TNG Digital Sdn Bhd menggesa para pengguna e-dompet Touch ‘n Go eWallet supaya melengkapkan pengesahan akaun (account verification) secepat mungkin bagi mengukuhkan keselamatan dan perlindungan akaun. Bermula 20 Disember 2024, para pengguna yang belum mengesahkan akaun mereka akan mengalami sekatan terhadap beberapa fungsi TNG eWallet.

Menurut syarikat tersebut, seramai 22 juta pengguna daripada keseluruhan 28 juta telah mengesahkan akaun mereka menggunakan kaedah Electronic Know-Your-Customer (eKYC) bagi mengurangkan risiko penipuan, akses tidak diiktiraf (unauthorised access) dan akaun keldai (mule accounts).

Selepas 20 Disember, para pengguna yang belum disahkan oleh eKYC akan menerima mesej pop-up yang akan mengarahkan mereka untuk mengesahkan akaun. Lambat-laun, akaun yang tidak disahkan juga akan dihalang daripada menggunakan beberapa fungsi tertentu, kemudian dalam tempoh beberapa bulan selepas tarikh tersebut, akaun itu akan dikunci.

Jika anda masih tidak mengesahkan akaun TNG eWallet sehingga ia dikunci, anda masih boleh mendapatkan semula sebarang baki wang dalam akaun anda.

Pengesahan akan memerlukan pengguna untuk memuat naik dokumen pengenalan diri seperti MyKad atau MyTentera, kemudian mengambil swafoto untuk pengecaman muka. Anda boleh rujuk pada infografik di bawah untuk mengetahui cara mengesahkan akaun TNG eWallet:

Beritahu kami di Facebook jika anda sudah mengesahkan akaun TNG eWallet anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Siaran Media Touch ‘n Go

Exit mobile version