Site icon TechNave BM

Penjawat awam dilarang gunakan media sosial ketika bertugas – CUEPACS

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam tidak sepatutnya menggunakan media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu waktu kerja kecuali atas urusan rasmi.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, tindakan tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan tumpuan dan produktiviti kerja, malah melanggar peraturan sedia ada dalam perkhidmatan awam. Tambahnya, penjawat awam perlu memberi fokus penuh terhadap tugas yang diamanahkan ketika bertugas sebagaimana terkandung dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh Jun 2013.

Menurut beliau, penggunaan media sosial yang tidak berkaitan dengan tugasan rasmi boleh dianggap sebagai pelanggaran kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. Sehubungan itu, CUEPACS menasihatkan semua kakitangan awam supaya mematuhi peraturan berkenaan dan sentiasa menjaga integriti serta imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Beliau turut menggesa agar platform media sosial digunakan secara berhemah dan hanya sebagai medium untuk menyebarkan maklumat bermanfaat, bukan saluran untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap agensi sendiri. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version