Site icon TechNave BM

Penjualan iPhone boleh jatuh 30% jika aplikasi WeChat diharamkan

Baru-baru ini industri teknologi kecoh dengan kemungkinan dua aplikasi popular TikTok dan WeChat bakal diharamkan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bermula 15 September. Kini, seorang penganalisis Apple mengatakan jualan iPhone sedunia boleh jatuh sebanyak 30% jika larangan tersebut dikuat kuasakan.

Penganalisis Apple, Ming-Chi Kuo, mengatakan ini adalah kerana WeChat merupakan aplikasi yang amat penting buat rakyat China dalam kehidupan seharian. Mereka melakukan pelbagai tugas dalam aplikasi tersebut termasuk komunikasi, pembayaran, e-dagang, hubungan sosial, pembacaan berita dan fungsi-fungsi melibatkan pekerjaan.

Kuo meramal jika larangan tersebut dikuat kuasakan, WeChat mungkin akan dikeluarkan daripada Apple App Store seluruh dunia dan ini akan menjejaskan jualan iPhone dalam pasaran China. Pada waktu penulisan, Apple sudah pun membuang WeChat daripada App Store India selepas kerajaan India menguat kuasakan larangan terhadap aplikasi itu.

Selain itu, jualan peranti Apple yang lain pula mungkin akan jatuh sebanyak 25% jika larangan WeChat dilaksanakan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CNET

Exit mobile version