Site icon TechNave BM

Penuntut Monash menang James Dyson Award 2026 Malaysia menerusi peranti ZeMor

Pelajar tahun akhir kejuruteraan dari Monash University Malaysia, Hayley Nea Iaduray, diumumkan sebagai Pemenang Kebangsaan James Dyson Award 2026 menerusi ciptaan peranti boleh pakai bernama ZeMor. Beliau membawa pulang hadiah tunai bernilai RM27,160 daripada Yayasan James Dyson.

Peranti ZeMor direka khusus untuk mengurangkan masalah gementar tangan atau tremor yang dihadapi oleh pesakit Parkinson. Diinspirasikan daripada sistem pengRedam Jisim Tertala atau Tuned Mass Damper yang lazim digunakan pada bangunan pencakar langit, peranti ini berfungsi menyerap dan menyerakkan tenaga kinetik tanpa menggunakan sebarang bateri atau kuasa elektrik.

Ciri utama peranti terletak pada kebolehannya yang boleh diselaraskan mengikut frekuensi tremor individu dengan cara menambah atau membuang pemberat. Prototaip tersebut dibangunkan menggunakan komponen mampu milik seperti bebola keluli, pemberat berslot, penyerap hentakan berasaskan spring dan struktur perumah cetakan 3D bagi memastikan kos penghasilannya kekal rendah.

Dana daripada kemenangan dirancang untuk digunakan bagi menaik taraf prototaip paksi tunggal kepada sistem pelbagai arah serta menjalankan penilaian lanjut bersama pakar perubatan. Selain ZeMor, dua lagi projek tempatan iaitu unit penulenan air solar SLIC dan peranti kesihatan kanak-kanak Pillay turut dipilih sebagai naib juara peringkat kebangsaan.

Kesemua pemenang ini akan mara ke peringkat antarabangsa bagi merebut hadiah global bernilai sehingga RM162,999 yang pemenangnya dijadualkan diumumkan pada November depan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version