Site icon TechNave BM

Perak lancarkan pawagam ‘drive-in’ pertama di Malaysia!

Perak telah melancarkan pawagam drive-in pertama di negara ini yang diberi nama Casuarini Sini-Drive semalam, pada 17 Julai 2020. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pawagam tersebut terletak di pusat bandar Meru dan mampu menampung sehingga 70 buah kereta pada masa yang sama.

Perkara ini adalah inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh Perak Corporation Berhad (PCB) dan ianya dijangka akan memberi impak positif pada sektor pelancongan di Perak selepas ianya terkesan oleh pandemik COVID-19.

Harga tiket untuk pawagam ini adalah antara RM36 sehingga RM42 untuk sebuah kereta termasuk set makanan dan minuman. Anda boleh menempah tiket pawagam drive-in ini secara online tanpa perlu pergi ke kawasan tersebut.

Orang ramai boleh menonton filem pelbagai genre termasuklah filem aksi dan juga filem Bollywood bermula pada pukul 8 malam sehingga 11 malam. Filem tersebut akan ditayangkan pada skrin sebesar 6 meter tinggi dan 18 meter lebar setiap hari kecuali hari Isnin bermula 18 Julai ini.

Orang ramai juga boleh mengubah radio mereka ke frekuensi yang ditetapkan untuk mendengar audio secara terus di dalam kereta mereka. Datuk Seri Ahmad Faizal juga berkata mereka bercadang untuk membuka pawagam drive-in ini di Kuala Kangsar dan Kampar jika ia mendapat sambutan yang baik dari orang ramai.

Bagaimana dengan pawagam drive-in di perak ini? Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version