Baru-baru ini, Xiaomi telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan peranti baru dari siri Mi MIX pada 29 Mac ini, seiring dengan pelancaran Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra. Kini, Xiaomi telah mengacah teknologi baru yang bakal mereka gunakan pada peranti baru Mi MIX ini.
Berdasarkan Xiaomi, peranti Mi MIX baru ini akan menggunakan teknologi lensa cecair. Xiaomi menamakan teknologi ini sebagai fotografi bionik kerana lensa cecair ini mampu untuk fokus seperti mata manusia.
Xiaomi juga menyatakan teknologi ini akan membolehkan sebuah lensa untuk menghasilkan kedua-dua fotografi makro dan telefoto. Peranti ini dikhabarkan akan menggunakan motor khas yang akan mengawal lapisan cecair yang dapat menghasilkan fokus yang tepat dan pantas.
Untuk spesifikasi lain, peranti baru Mi MIX ini dikhabarkan akan hadir dengan pengecasan pantas 200W, cipset Snapdragon 888, RAM 8GB dan pillihan storan serendah 128GB.
Nantikan pelancaran peranti Mi MIX baru ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

