Site icon TechNave BM

Peranti Redmi baru bakal hadir, mungkin peranti termurah dengan cipset Snapdragon 888

Selepas melancarkan siri Redmi Note 9 terbaru di pasaran China, Redmi masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan peranti seterusnya. Namun, terdapat sumber yang mendedahkan bahawa peranti Redmi dengan Snapdragon 888 bakal hadir kelak.

Sumber yang merupakan pendedah maklumat terkenal di laman carian popular China Weibo menyatakan bahawa peranti Redmi baharu dengan Snapdragon 888 telah muncul di pangkalan data. Peranti ini dirujuk dengan nama kod Haydn, model K11. Tambah sumber, peranti ini mungkin menjadi peranti termurah dengan cipset andalan Snapdragon 888.

Setakat ini, peranti Redmi baharu dijangka diperkenal sebagai salah satu siri Redmi K40. Terdahulu, terdapat sumber lain yang telah mendedahkan rekaan Redmi K40 dengan tetapan empat kamera. Menurut laporan, siri Redmi K40 bakal terdiri daripada Redmi K40 versi standard (Dimensity 1000), manakala Redmi K40 Pro mungkin dengan Snapdragon 888.

Siri Redmi K40 juga dijangka hadir dengan pembesar suara stereo dan skrin OLED 120Hz. Apa pun, maklumat ini masih bukan maklumat yang rasmi.

Walaupun siri Redmi K30 terdahulu tidak dilancar secara rasmi di Malaysia, namun terdapat segelintir peminat di Malaysia yang meminati siri ini.

Kongsikan pandangan anda mengenai peranti Redmi baharu dengan Snapdragon 888 di laman Facebook kami dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2

Exit mobile version