Site icon TechNave BM

Peraturan iklan dalam Bahasa Melayu di platform e-dagang ditangguhkan sementara

Peraturan baharu yang mewajibkan semua tajuk dan penerangan produk di platform e-dagang ditulis dalam Bahasa Malaysia telah ditangguhkan buat sementara waktu, menurut kenyataan terkini daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebelum ini, beberapa platform e-dagang utama dilaporkan telah meminta penjual mengemas kini senarai produk mereka supaya mematuhi Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 (CPETTR 2024) yang sepatutnya berkuat kuasa pada 24 Jun 2025.

Peraturan ini menyasarkan penjual tempatan dan antarabangsa yang hanya menggunakan Bahasa Inggeris dalam iklan produk. Selain penggunaan Bahasa Malaysia, penjual juga diwajibkan memaparkan maklumat perniagaan yang lengkap dan tepat termasuk nama, maklumat hubungan dan alamat perniagaan. Nama jenama masih dibenarkan kekal dalam bahasa asal.

CPETTR 2024 bertujuan meningkatkan perlindungan pengguna dalam urus niaga dalam talian. Penjual produk tertentu turut diwajibkan mengemukakan sijil pematuhan keselamatan yang sah. Kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tiga tahun bagi kesalahan pertama manakala syarikat boleh didenda hingga RM100,000.

Hukuman akan digandakan bagi kesalahan berulang. Namun, susulan reaksi negatif daripada peniaga, KPDN menangguhkan pelaksanaan peraturan ini. Menerusi surat yang ditandatangani Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam, dinyatakan bahawa garis masa pelaksanaan akan dikaji semula berdasarkan maklum balas pengendali platform.

Tiada tarikh baharu ditetapkan setakat ini tetapi peniaga berharap kerajaan memberi garis panduan jelas, sokongan teknikal dan pendekatan lebih fleksibel. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: World Of Buzz

Exit mobile version