Site icon TechNave BM

Perbincangan untuk gabung Celcom dan Digi mungkin disambung semula selepas batal pada 2019

Pada 2019, syarikat telekomunikasi Axiata Group Bhd dari Malaysia dan Telenor ASA dari Norway merancang untuk bergabung dan menghasilkan konsortium baru, namun perancangan tersebut ditamatkan pada akhir tahun itu. Kini, kedua-dua syarikat dilaporkan sedang merancang semula untuk melaksanakan penggabungan tersebut.

Menurut sumber, minat terhadap penggabungan kedua-dua syarikat timbul semula selepas kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) bagi membina infrastruktur rangkaian 5G negara. Melalui SPV itu, kerajaan akan menyewakan lesen perkhidmatan 5G kepada syarikat telekomunikasi di mana mereka kini perlu bersaing untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Ini akan membuatkan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam negara berkongsi infrastruktur telekomunikasi yang sama namun perlu bersaing daripada segi perkhidmatan kepada pelanggan. Selain itu, ia juga mungkin membuatkan beberapa syarika telekomunikasi untuk bergabung bagi meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih kompetitif.

Telenor ASA mempunyai saham sebanyak 49% dalam Digi manakala Celcom dimiliki sepenuhnya oleh Axiata Group. Penggabungan kedua-dua syarikat mungkin akan memanfaatkan kedua-dua pihak, di mana Telenor boleh menyediakan kepakaran 5G mereka dan membolehkan Celcom serta Digi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih menarik kepada pelanggan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Exit mobile version