Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kerajaan akan memperkenalkan sebuah agensi baharu bernama Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada 12 Disember 2024 di Kuala Lumpur. Ia bakal dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fungsi utama agensi tersebut adalah untuk membantu kerajaan menggubal polisi yang sesuai dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI). Kerajaan akan meneliti kebaikan, risiko dan keseimbangan melibatkan teknologi AI.
Kementeriannya juga berkata NAIO mampu memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor, menyokong integarasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat serta mengukuhkan ekonomi digital.
Ini bakal menjadi perkembangan terbaharu dalam industri AI tempatan yang dibangunkan oleh kerajaan. Sebelum ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuka fakulti AI pertama di Malaysia dan pada bulan Mei lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 bagi membangunkan inovasi AI.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

