Site icon TechNave BM

Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac – Apa yang anda perlu tahu?

Terkini, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020, Rabu ini sehingga 31 Mac 2020.

Sepintas lalu, Kawalan Pergerakan Pertama meliputi larangan menyeluruh terhadap pergerakan dan perhimpunan beramai-ramai di mana-mana sahaja di Malaysia termasuk aktiviti keagamaan, sosial, sukan dan sebagainya. Kawalan Pergerakan Kedua pula dimulakan dengan menyekat semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, diselangi dengan Kawalan Pergerakan Ketiga yang menyekat kemasukan kemasukan pelancong atau pelawat ke dalam negara.

Kawalan Pergerakan Keempat adalah dengan menutup kesemua institusi pendidikan seperti taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

Diikuti dengan Kawalan Pergerakan Kelima yang seterusnya menutup kesemua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta dan Kawalan Pergerakan Keenam yang meliputi penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Untuk itu, rakyat Malaysia boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 0388882010 bermula jam 12 tengah hari esok bagi sebarang maklumat lanjut. Kami menyarankan anda agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk membendung penularan COVID-19.

Beritahu komen anda di laman Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BH Online

Exit mobile version