Site icon TechNave BM

Perisian beta baru Sony PS5 bawakan sokongan storan SSD M.2 sehingga 4TB

Adakah anda salah satu pengguna bertuah yang dapat memiliki Sony PlayStation 5? Jika betul, anda pasti dapat perasan satu masalah konsol ini iaitu storan yang terhad. Game masa kini mempunyai saiz yang besar dan PS5 hanya mempunyai storan 825GB sahaja. Terbaru, perisian beta baru PS5 dapat menyelesaikan masalah ini.

Sony mengesahkan bahawa mereka sedang mencuba kemas kini perisian baru untuk PS5 yang dapat menambahkan storan dalamannya. Apabila anda mengemas kini perisian ini, anda dapat memasang storan tambahan SSD M.2. SSD tersebut perlu dipasang ke dalam slot fizikal di dalam PS5, jadi anda perlu membuka konsol anda untuk berbuat demikian.

Semestinya bukan semua SSD M.2 yang boleh dimasukkan, SSD tersebut haruslah mempunyai kadar bacaan sepantas 5,500MB/s atau lebih. Anda juga perlu memasang pad penyejukan atau sink haba supaya SSD ini tidak akan menjadi terlalu panas apabila digunakan.

Buat masa ini, program beta ini hanya tersedia untuk sebilangan pengguna di beberapa negara sahaja. Apabila percubaan beta ini berakhir, ia dijangka akan diberikan ke semua pengguna serata dunia.

Jadi, adakah anda berpuas hati dengan perisian beta ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version