Site icon TechNave BM

Perkhidmatan Apple One Premier akan ditawarkan kepada pengguna Malaysia bermula 4 November

Apple Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan perkhidmatan Apple One Premier bermula hari Khamis, 4 November 2021. Malaysia bakal menjadi antara 17 negara terawal untuk menerima perkhidmatan tersebut dan akan ditawarkan pada harga RM69.90 sebulan.

Perbezaan utama antara Apple One Premier dan Apple One adalah pada fungsi Apple Fitness+ yang boleh menyepadukan senaman dengan sensor pada jam tangan Apple Watch dan storan awanan iCloud+ sebanyak 2TB. iCloud+ menawarkan fungsi yang lebih privasi dan selamat dengan iCloud Private Relay dan Hide My Email.

Apple One Premier masih mengekalkan perkhidmatan lain dalam Apple One seperti Apple Music, Apple TV+ dan Apple Arcade. Pengguna Apple One sedia ada boleh mengubah pelan mereka pada bila-bila masa dan dengan Family Sharing, pelanggan boleh berkongsi pelan mereka dengan enam ahli keluarga pada harga RM33.90 sebulan. Untuk akaun individu pula, ia berharga RM19.90 sebulan.

Buat mereka yang masih belum melanggan, Apple One boleh dicuba secara percuma terlebih dahulu selama 30 hari. Ia boleh digunakan dengan semua peranti Apple termasuk iPhone, iPad, iPod Touch, Mac, Apple Watch dan Apple TV, serta televisyen pintar, pembesar suara pintar dan konsol gaming.

Layari laman web Apple Malaysia untuk maklumat lanjut tentang pelan ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Apple One Premier dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version