Site icon TechNave BM

Perkhidmatan LRT Kelana Jaya pulih sepenuhnya bermula 14 November 2022

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi sepenuhnya bermula hari Isnin, 14 November 2022 jam 6:00 pagi. Pengembalian operasi ini pastinya disambut baik oleh warga kota yang tidak dapat menggunakan LRT tersebut di beberapa stesen utama sejak 9 November lalu.

Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut berkata bahawa pengembalian operasi ini berlaku dua hari lebih awal daripada jangkaan. Dalam sebuah video di Facebook, beliau menjelaskan bahawa sesi menguji keberkesanan sistem dan keselamatan operasi yang dilakukan semalam menunjukkan keadaan stabil untuk LRT itu.

Pihak pengurusan dan pakar teknikal Rapid Rail telah menggandakan ujian melibatkan 38 unit tren dari stesen Gombak ke Putra Heights bagi memastikan perkhidmatan LRT Kelana Jaya selamat dan sedia untuk pembukaan semula secara penuh.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) telah mengisytiharkan bahawa LRT Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya. Sungguh pun begitu, Prasarana masih diminta untuk terus menyediakan bas perantara di stesen hotspot sebagai langkah persediaan.

Bagi memastikan kelancaran sistem, Wee berkata pakar teknikal Rapid Rail akan melakukan pemantauan bersama pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group.

Untuk para pelanggan yang terjejas pula, mereka akan diberikan pampasan tiket selama tujuh hari, meskipun perkhidmatan LRT itu diberhentikan selama lima hari sahaja.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version