Site icon TechNave BM

Perkhidmatan trem percuma di Putrajaya sehingga Julai ini

Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang menjalankan percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan daripada 13 Mei hingga 31 Julai 2024. Projek rintis ini bertujuan untuk memperkenalkan ART sebagai salah satu mod pengangkutan yang melengkapi rangkaian sistem sedia ada di Putrajaya. Jika berjaya, perkhidmatan trem ini dijangka bermula pada akhir tahun ini.

Jurutera PPj, Muhammad Masrizal Saad menyatakan bahawa dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan ini. Laluan pertama beroperasi daripada Isnin hingga Jumaat bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral melalui destinasi pentadbiran kerajaan di Presint 2, 3 dan 4. Laluan kedua beroperasi pada hujung minggu dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke IOI City Mall.

ART menggunakan teknologi oleh CRC, anak syarikat China yang merupakan pengeluar utama sistem dan komponen rel dunia. Trem ART yang mampu menampung hingga 307 penumpang pada waktu puncak ini tidak mengenakan bayaran semasa tempoh percubaan. Penumpang hanya perlu menggunakan aplikasi kod QR yang disediakan di stesen.

Seorang pengguna, Zainol Awang, 69 datang dari Karak, Pahang untuk merasai pengalaman ini dan menyatakan kekagumannya terhadap kemajuan negara. Seorang lagi pengguna, Alia Jamin, percaya bahawa ART dapat menarik lebih banyak pelancong ke Putrajaya dan meningkatkan ekonomi setempat.

Maklumat lanjut mengenai operasi ART boleh didapati di laman sesawang dan media sosial rasmi PPj. Beritahu pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version