Site icon TechNave BM

Pernah mahukan iPhone 12 Pro tanpa kamera? Anda boleh berbuat demikian dengan harga ~RM20,327

Kebolehan fotografi yang mantap adalah antara ciri terpenting dalam iPhone 12 Pro. Walau bagaimanapun jika anda masih mahukan telefon yang canggih itu tanpa kameranya, anda boleh memesan telefon sedemikian dari sebuah syarikat pengubah suai iPhone di Rusia dengan harga bermula USD4,990 (~RM20,327).

Syarikat bernama Caviar Royal Gift telah menghasilkan iPhone 12 Pro khas yang tidak mempunyai sebarang kamera dan dihiasi dengan besi titanium di belakangnya. Produk yang dinamakan iPhone 12 Pro Stealth ini terdapat dalam dua varian warna iaitu emas dan hitam, dan kedua-duanya hanya dijual sebanyak 99 unit sahaja.

Tujuan Caviar menghasilkan telefon unik ini adalah untuk mereka yang bekerja dalam fasiliti rahsia dan mempunyai keselamatan tinggi, di mana sebarang bentuk kamera tidak dibenarkan masuk. Caviar adalah syarikat yang terkenal dengan iPhone yang diubah suai dengan rekaan mewah.

Apakah pendapat anda tentang iPhone 12 Pro tanpa kamera? Kongsi bersama kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version