Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat permotoran tempatan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bakal mengumumkan kenderaan elektriknya (EV) yang pertama pada hujung bulan ini. Beliau mengatakan EV Perodua ini bakal dijual pada harga mampu milik dan menepati kehendak orang ramai.
EV tersebut adalah buatan Malaysia sepenuhnya dan akan dijadikan sebagai Agenda Nasional. Selain dijual pada harga mampu milik, beliau berkata ia boleh menjana ekonomi negara. Ia mencerminkan kekuatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kukuh yang dibangunkan oleh tenaga kerja tempatan.
Pada bulan Mei lalu, Perodua mengatakan EV baharu ini dianggarkan akan dijual pada harga bawah RM80,000. Mereka juga menjangkakan kadar pengeluaran sebanyak 500 unit sebulan dan akan menyasarkannya kepada pembeli muda dan keluarga kecil bagi memudahkan mereka memiliki EV.
Pada Disember 2024, Perodua memperkenalkan EV prototaip yang digelar sebagai eMO-II dalam acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024. Kami menjangkakan EV baharu ini mungkin akan mempunyai rekaan dan spesifikasi yang serupa dengannya.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan EV Perodua dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Harian Metro

