Site icon TechNave BM

Perodua bakal lancarkan kereta elektrik mampu milik pada penghujung 2025

Perodua sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menghasilkan prototaip kenderaan elektrik (EV) menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada usaha Perodua untuk menerajui pengeluaran EV mampu milik di Malaysia, seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Bagaimanapun, Tengku Zafrul tidak mendedahkan nama syarikat antarabangsa yang terlibat dalam usaha itu.

Tambahnya, pengeluaran berskala besar Perodua (EV mampu milik) dijadualkan pada penghujung 2025. November lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sehingga 20% daripada jumlah jualan keretanya menjelang 2030.

Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 1.5 juta EV di jalan raya Malaysia menjelang 2040. Pengecualian duti eksais dan cukai jualan untuk pemasangan EV tempatan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027 manakala pengecualian duti import dan eksais untuk EV yang diimport telah dilanjutkan kepada 31 Disember 2025.

EV juga dikecualikan daripada cukai jalan sehingga akhir 2025. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version