Perodua terus mengorak langkah dalam dunia kenderaan elektrik (EV) dengan mempersembahkan versi terkini EMO EV Concept di Malaysia Autoshow 2025. Model tersebut dijangka dijual pada harga antara RM50,000 hingga RM80,000 yang dilengkapi sistem bateri sewaan yang boleh ditukar serta mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 400 kilometer.
EV Perodua ini menampilkan rekaan fastback moden dan aerodinamik menjadikannya antara konsep paling matang yang pernah dipamerkan Perodua dan kali ini, ia benar-benar hampir ke barisan pengeluaran. Apa yang menarik, Perodua mengesahkan bahawa EV pertama mereka akan dilancarkan seawal suku keempat 2025.
Mereka turut mengumumkan strategi battery leasing di mana pengguna membeli kereta tetapi menyewa bateri secara berasingan yang merupakan langkah berani untuk menurunkan kos pemilikan. Pelancaran akan dilakukan secara berperingkat selari dengan pembangunan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.
Perodua benar-benar komited untuk menawarkan EV mampu milik kepada rakyat. Dengan reka bentuk yang menarik dan pendekatan inovatif dalam model pemilikan, Perodua bersedia mencabar pasaran EV tempatan. Nantikan kemunculannya akhir tahun ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Harian Metro

