Perodua telah melancarkan P-Circle, sebuah aplikasi super baharu yang direka untuk membawa syarikat lebih dekat dengan konsep Mobility as a Service (MaaS). Walaupun ia lebih sesuai untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) Perodua yang akan datang, aplikasi ini berguna untuk sesiapa sahaja melalui e-dompet P-Duit yang membolehkan pembayaran pelbagai transaksi.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, aplikasi ini mencerminkan peralihan ke arah perkhidmatan berasaskan teknologi, selaras dengan trend masa depan di mana kenderaan, rumah dan kehidupan seharian sentiasa berhubung. Aplikasi ini bertujuan untuk meramalkan keperluan pelanggan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform, selaras dengan falsafah Perodua, “We Go Beyond”.
Antara ciri P-Circle adalah P-Duit yang boleh digunakan pemilik EV untuk membayar di semua stesen pengecasan dan P-Guardian yang menggabungkan pengawasan rumah dengan pengecas EV. Pemilik EV juga boleh menggunakan P Vehicle untuk kawalan jauh kenderaan dan P-Charge Mobile untuk perkhidmatan pengecasan kecemasan.
Selain fungsi berkaitan EV, aplikasi ini turut menawarkan P-Go smartwatch, P-Calendar, P-Marketplace, P-Chat, P-Entertainment, P-Home dan P-Map. Pengguna juga boleh mengumpul mata ganjaran melalui P-Reward, menjadikan aplikasi ini sebagai hab gaya hidup yang menggabungkan mobiliti, kemudahan dan perkhidmatan digital dalam satu platform.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Paultan

