Berikutan penularan wabak COVID-19 dan usaha nasional untuk penjarakan sosial, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mencadangkan agar pendengaran mahkamah di negeri itu diteruskan secara maya dan persidangan video agar penguat kuasaan undang-undang terus terlaksana walaupun dalam situasi yang sukar ini.
Presidennya, Roger Chin, kini sedang merancang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan beberapa pegawai mahkamah lain dalam mengeluarkan Arahan Amalan untuk membenarkan inisiatif tersebut. Ini diharapkan akan mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 tanpa perlu mengorbankan tugas institusi kehakiman.
Chin berkata langkah itu sebahagian besarnya adalah daripada inovasi yang dibuat melalui platform Sistem Pengurusan Kes (CMS) yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Beliau juga mengharapkan langkah tersebut boleh diteruskan walaupun selepas wabak ini berjaya dibendung.
Beritahu kami di Facebook kami apakah pendapat anda tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

