Site icon TechNave BM

Pertandingan Filem Pendek Canon 2023 tawarkan hadiah sehingga RM50,000, bermula September ini

Canon Malaysia buat kali pertamanya mengumumkan penganjuran peraduan “Canon Short Film Contest 2023”. Ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada pengguna kamera mahupun telefon pintar dialu-alukan untuk menyertai peraduan ini dan menyerlahkan kemahiran kreatif.

Canon Short Film Contest 2023 dengan temanya “Harmony in Diversity” yang bermaksud ‘keharmonian dalam kepelbagaian’ dengan kerjasama Tourism Malaysia. Selain itu, pertandingan ini memberi tumpuan terhadap filem pendek yang memaparkan pengalaman luar biasa di Malaysia seperti budaya, kepelbagaian kaum dan destinasi pelancongan. 

Panel juri bagi peraduan ini terdiri daripada Raja Mukhriz, Indra Che Muda Redzuan dan Chew Han Tah. Canon telah bekerjasama dengan Nanlite, SanDisk, Sennheiser dan Zhiyun untuk menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada para pemenang termasuk peralatan videografi yang bernilai lebih daripada RM 200,000.

Pemenang hadiah utama yang bertuah berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang berjumlah RM 50,000. Canon Short Film Contest 2023 ini terbuka kepada setiap penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berdurasi tiga hingga sepuluh minit, bebas dirakam melalui mana-mana jenama kamera atau telefon pintar.

Penyertaan pertandingan akan diterima dari 1 September 2023 hingga 15 Oktober 2023. Terdapat tiga kategori penyertaan iaitu Kamera, Universiti & Kolej (bagi pelajar universiti dan kolej) dan Telefon Pintar. Peserta boleh menyerahkan filem pendek mereka melalui laman web rasmi Canon yang disertakan dengan Terma dan Syarat untuk peraduan ini. 

Untuk kemas kini dan maklumat terkini mengenai Canon Short Film Contest 2023, layari laman rasmi di sini atau ikuti Canon Marketing Malaysia di Facebook dan Instagram. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version