Site icon TechNave BM

Peta NASA menunjukkan pengurangan pencemaran udara di China kerana kuarantin membendung COVID-19

Pusat Pemerhatian Bumi NASA di Amerika Syarikat (AS) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan perubahan kualiti udara di China sepanjang negara itu mengalami krisis penyebaran penyakit COVID-19. Menurut kedua-dua agensi tersebut, jumlah nitrogen dioksida (NO2) berkurangan secara ketara di China berikutan pengurangan aktiviti ekonomi di negara itu yang disebabkan oleh kuarantin.

Sebagai perbandingan, NASA mengeluarkan peta kualiti udara di Wuhan dalam tempoh Januari-Februari 2019 dan Januari-Februari 2020. Pada 2019, pencemaran udara menjadi semakin teruk berikutan penyambungan aktiviti ekonomi selepas cuti Tahun Baru Cina. Namun pada 2020 pula, pencemaran udara semaking berkurangan dalam tempoh yang sama.

NO2 adalah sebuah gas yang dilepaskan oleh kenderaan bermotor, pusat janaan tenaga dan kilang-kilang industri. Pada Februari 2020, jumlah NO2 di rantau China timur dan tengah adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada yang biasa direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya. Menurut seorang penyelidik di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA, Fei Liu, ini adalah kali pertama beliau melihat penurunan pencemaran udara yang mendadak dalam satu kawasan.

Adakah ini hikmah di sebalik cubaan besar yang melanda dunia sekarang ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: NASA Earth Observatory

Exit mobile version