Syarikat pengeluar peti ais dan mesin layan diri dari Jepun, SDRS, bersama pembekal peralatan industri Trusco Nakayama telah memperkenalkan Do Hiemon Box. Ia merupakan peti penyejuk badan muatan seorang yang direka khas untuk mendinginkan individu yang terdedah kepada suhu panas melampau.
Rekabentuk peranti ini diinspirasikan daripada mesin layan diri berpendingin di Jepun dengan mengekalkan suhu ruang dalaman sekitar 15 darjah Celsius. Apabila pengguna duduk di kerusi yang disediakan, udara sejuk pada suhu anggaran 5 darjah Celsius akan disalurkan terus ke bahagian kepala, leher, bahu dan belakang badan.
Pengguna boleh merasakan kesan sejuk seawal lima minit manakala penggunaan selama 10 minit dijangka membantu mengurangkan suhu badan serta melegakan simptom kelesuan haba. Peranti mudah alih ini menyediakan tiga mod penyejukan dan dilengkapi fungsi padam automatik selepas 20 minit bagi mengelakkan penyejukan berlebihan.
Ia menggunakan kira-kira separuh daripada tenaga elektrik yang diperlukan oleh penyaman udara tempatan biasa, tidak memerlukan proses pemasangan khas serta dipasang dengan roda untuk memudahkan ia dipindahkan. Peti sejuk ini disasarkan untuk kegunaan di tapak pembinaan, kilang, gudang, acara luar, sekolah dan pusat beli-belah.
Do Hiemon Box kini dijual di Jepun melalui pengedar peralatan industri pada harga 1.5 juta yen (~RM43,260). Satu unit peranti ini turut didermakan kepada Dewan Bandaraya Maebashi untuk kegunaan awam secara percuma semasa waktu operasi. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

