PETRONAS mengesahkan bahawa bekalan minyak di semua stesen minyaknya di seluruh negara kekal stabil dan mencukupi sehingga akhir Jun 2026. Ini sekaligus meredakan kebimbangan orang ramai berhubung isu kekurangan bekalan ketika ini.
Menurut kenyataan rasmi PETRONAS, jaminan terbaharu merupakan lanjutan daripada unjuran sebelum ini yang hanya meliputi sehingga penghujung Mei 2026. Langkah ini dibuat susulan pemantauan rapi terhadap perkembangan semasa termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan global yang berpunca daripada konflik geopolitik di Asia Barat.
Dalam masa sama, PETRONAS memaklumkan bahawa pihaknya sedang menguruskan rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan kelangsungan stok bahan api di pasaran tempatan tidak terjejas. Ini termasuk koordinasi berterusan dengan rakan industri serta pengoptimuman logistik penghantaran.
Sebagai rekod, PETRONAS melalui anak syarikatnya menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan keperluan bahan api negara. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan bahan api secara berlebihan, sebaliknya mengisi minyak seperti biasa mengikut keperluan harian.
Perkembangan ini dijangka memberi sedikit kelegaan kepada pengguna serta industri khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global yang masih berlarutan ketika ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: PETRONAS

