Site icon TechNave BM

Play Store akan label aplikasi yang cepat habiskan bateri bermula Mac 2026

Google mengumumkan bahawa bermula 1 Mac 2026, Play Store akan memaparkan amaran khas untuk aplikasi yang berpotensi menyebabkan bateri telefon cepat habis akibat aktiviti latar belakang berlebihan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menangani isu bateri cepat habis melalui metrik baharu dinamakan “excessive partial wake lock”.

Menurut Google, metrik tersebut mula diuji dalam versi beta awal tahun ini dan kini tersedia untuk semua pembangun aplikasi Android hasil kerjasama dengan Samsung. Ia direka bagi mengukur sejauh mana aplikasi mengekalkan peranti dalam keadaan aktif (wake lock) tanpa sebab munasabah.

Google turut menetapkan “bad behavior threshold” untuk mengenal pasti aplikasi yang mengekalkan wake lock terlalu lama. Aplikasi yang melanggar had tersebut bukan sahaja boleh kehilangan kedudukan dalam cadangan Play Store, malah akan disertakan label amaran pada halaman senarainya.

Secara teknikal, aplikasi dikira melebihi had jika ia menahan lebih dua jam non-exempt wake lock dalam tempoh 24 jam, tidak termasuk aktiviti penting seperti main balik audio atau pemindahan data. Sementara itu, aplikasi dianggap melampaui “bad behavior threshold” jika 5% atau lebih sesi pengguna dalam tempoh 28 hari menunjukkan aktiviti wake lock berlebihan.

Inisiatif ini dijangka membantu pengguna mengenal pasti aplikasi yang berisiko mengurangkan jangka hayat bateri serta mendorong pembangun mempertingkat kecekapan tenaga aplikasi masing-masing. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version