Site icon TechNave BM

PlayStation 5 akan dilengkapi GPU 10.2 teraflop, SSD 825GB, RAM 16GB

Jika pada beberapa hari yang lalu Microsoft sudah menyenaraikan spesifikasi penuh untuk Xbox Series X, hari ini kita dapat maklumat baru tentang spesifikasi konsol PlayStation 5 (PS5) pula. Dalam sebuah pembentangan bertajuk The Road to PS5, kita telah mendapat beberapa maklumat baru daripada Mark Cerny, ketua arkitek sistem PS5.

PS5 akan dilengkapi pemproses grafik (GPU) yang menampilkan 36 unit kiraan (compute units) dan prestasi kiraan (compute performance) sehingga 10.28 teraflop. Selain itu, ia akan dilengkapi SSD 825GB yang mempunyai kelajuan 5.5GB setiap saat dan RAM GDDR6 16GB. Jika SSD yang besar itu masih tak cukup untuk anda, PS5 juga membenarkan pembesaran storan melalui SSD NVMe luaran.

Daripada segi audio pula, PS5 akan dilengkapi Tempest Engine yang boleh memproses audio 3D bermutu tinggi dan pemain tidak perlu menggunakan kelengkapan audio yang bertaraf tinggi untuk memanfaatkannya, ia akan berfungsi dengan headphone biasa. Sony juga akan berusaha untuk mengadaptasi teknologi tersebut untuk pembesar suara televisyen, sistem bunyi persekitaran (surround sound) dan sound bar.

Walau bagaimanapun, kita masih tidak mengetahui rupa PS5 setakat ini. Berikan ramalan anda di Facebook kami bagaimana rupa PS5 nanti dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Engadget

Exit mobile version