Site icon TechNave BM

PM: TNB, Perodua dan TM perlu bekerjasama untuk kadar pengecasan EV yang berpatutan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perodua menjalin kerjasama dalam memperkenalkan kadar pengecasan kenderaan elektrik (EV) mampu milik di Malaysia.

Selain itu, Ismail turut mencadangkan agar Telekom Malaysia (TM) menyertai dan menyediakan pakej data yang membolehkan pengguna menempah sesi pengecasan EV secara dalam talian.

Bercakap kepada akhbar semasa pelancaran Perodua Alza baharu hari ini, Perdana Menteri berkata kerjasama itu akan membantu mencapai sasaran Malaysia menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Seperti dilaporkan Bernama, Ismail menegaskan TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran tenaganya dengan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menyediakan stesen pengecasan EV yang mencukupi.

Oleh itu, Perodua boleh menggunakan peluang ini untuk memasuki pasaran EV dengan mengeluarkan EV berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh keluarga Malaysia. Ismail mendakwa kerjasama pintar seperti itu perlu dijalin secepat mungkin bagi mengatasi kesan perubahan iklim.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan persekutuan lebih bersedia untuk berbincang dengan pihak swasta bagi memastikan semua dasar yang diperkenalkan adalah selaras dengan hala tuju negara. Jadi, apa pendapat anda tentang cadangan Perdana Menteri ini?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version