Site icon TechNave BM

POCO akan lancarkan jam tangan pertama dan produk edisi khas Genshin Impact pada 26 April 2022

Sebelum ini, POCO telah pun mengesahkan bahawa mereka bakal melancarkan telefon pintar POCO F4 GT pada 26 April 2022. Kini mereka mengesahkan bahawa dua buah produk lagi akan dilancar pada hari yang sama iaitu jam tangan pintar dan sebuah produk yang dibina khas dengan game popular Genshin Impact.

Jam tangan itu mungkin dinamakan sebagai POCO Watch dan bakal menjadi jam tangan pertama oleh POCO. Posternya menunjukkan seutas jam tangan pintar dengan skrin yang berbentuk petak, manakala gambar yang tertiris pula menunjukkan rekaan tali jam dengan tiga pilihan warna.

Skrin petak itu mungkin berukuran 1.6 inci dengan panel AMOLED dan resolusi 360×320, manakala fungsinya terdiri daripada pengukur degupan jantung, pengukur tahap oksigen dalam darah, rating kalis air 5 ATM dan bateri 225mAh.

Untuk produk edisi khas Genshin Impact pula, POCO tidak menjelas jenis produk tersebut namun terdapat maklumat yang mengatakan ia adalah sepasang fon telinga wayarles POCO Buds Pro Genshin Impact Edition yang mempunyai gabungan warna merah dan emas.

Fon telinga wayarles itu dilengkapi pembatalan hingar aktif (ANC) yang boleh mengurangkan bunyi persekitaran sehingga 35dB, rating kalis air IPX4 dan hiasan logo bertemakan Genshin Impact.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kedua-dua produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version