Site icon TechNave BM

POCO C65 dilancar: Telefon bajet dengan skrin 90Hz, cipset Helio G85 dan bateri 5,000mAh bermula ~RM520

POCO telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan terbaru iaitu POCO C65. Ia membawa beberapa naik taraf yang ketara daripada POCO C55, seperti skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi, pengecasan yang lebih pantas dan sensor kamera dengan jumlah megapiksel yang lebih tinggi.

POCO C65 mempunyai skrin dengan panel IPS LCD berukuran 6.74 inci dengan resolusi 1600×720, kadar segar semula 90Hz dan kecerahan puncak 600 nits. Skrin ini lebih besar sedikit daripada POCO C55 (6.71 inci) dan kadar segar semulanya juga telah ditingkatkan daripada 60Hz kepada 90Hz.

Pilihan warna POCO C65
Rekaan bonggol kamera POCO C65

Skrin ini juga mempunyai pengiktirafan TUV untuk pancaran cahaya biru yang rendah serta pemalapan PC untuk tontonan yang lebih selesa pada mata pengguna.

Di bahagian sisi, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Satu penambahbaikan daripada POCO C55 sebelum ini adalah POCO C65 kini menggunakan port USB-C di bahagian bawah. Bicu audio 3.5mm pula masih dikekalkan dalam POCO C65.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Helio G85 yang dibina dengan nod proses 12nm, RAM 6GB atau 8GB dan storan dalaman 128GB atau 256GB. Baterinya pula berkapasiti 5,000mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 18W.

Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera makro 2MP di belakang, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 8MP. Satu ciri menarik pada kamera swafoto ini adalah ia mempunyai cahaya cincin lembut (soft ring light) untuk mencantikkan gambar swafoto dalam suasana malap.

POCO C65 akan ditawarkan dalam warna hitam, biru atau ungu. Ia akan dijual untuk pasaran antarabangsa pada harga bermula USD109 (~RM520) untuk varian 6GB+128GB, namun setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: POCO

Exit mobile version