POCO C81 Pro kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia sebagai telefon pintar kelas permulaan baharu yang memfokuskan kepada paparan besar, bateri tahan lama dan pengalaman penggunaan harian. Ia hadir dengan skrin 6.9 inci yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, tahap kecerahan sehingga 800 nits dan sokongan Wet Touch Technology 2.0 serta menerima pensijilan perlindungan mata TÜV Rheinland.
POCO C81 Pro dikuasakan cip pemproses octa-core bersama kombinasi memori LPDDR4X dan storan UFS 2.2 serta menyokong fungsi RAM tambahan sehingga 8GB. Telefon ini juga menjadi model pertama dalam siri POCO C yang menggunakan Xiaomi HyperOS 3. Antara ciri yang disertakan termasuk Google Gemini, Circle to Search, Xiaomi HyperIsland dan Xiaomi Interconnectivity.
Baterinya pula berkapasiti 6000mAh yang didakwa mampu bertahan lebih dua hari penggunaan biasa dalam satu cas penuh. Menariknya, bateri masih mengekalkan prestasi stabil selepas 1,000 kitaran pengecasan. Untuk fotografi, POCO C81 Pro menggunakan sistem kamera AI dwi-belakang 13MP bersama sensor lebih besar berbanding generasi sebelumnya.
Kamera swafoto pula menggunakan sensor 8MP dengan sokongan mod malam pada kedua-dua kamera depan dan belakang. Ia tiba dalam tiga pilihan warna iaitu hijau, emas dan hitam dengan rekaan setebal 8.15mm serta berat 208 gram. POCO C81 Pro ditawarkan dalam tiga varian iaitu 4/64GB berharga RM399 manakala varian 4/128GB berharga RM439 dan varian 4/256GB berharga RM529.
Peranti ini mula dijual bermula 21 Mei 2026 menerusi mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

