Site icon TechNave BM

POCO F3 GT dilancar: Cipset Dimensity 1200, cas pantas 67W, Maglev Trigger, berharga ~RM1,533

Terbaru, POCO telah melancarkan telefon pintar POCO F3 GT di India dan seperti yang dijangka, ia mempunyai banyak persamaan dengan Redmi K40 Gaming Edition. Tanpa membuang masa, berikut adalah spesifikasi penuh POCO F3 GT.

Pada bahagian hadapan, peranti ini hadir dengan skrin 6.67 inci AMOLED 10-bit FHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan kadar bacaan sentuhan 480Hz. Untuk binaan pula, ia menggunakan ketahanan kaca Gorilla Glass 5 hadapan dan belakang. Di bahagian sisi kanan pula, ia menawarkan butang fizikal gaming yang dipanggil Maglev Trigger.

POCO F3 GT dikuasai oleh cipset Dimensity 1200 bersama RAM setinggi 8GB dan storan jenis UFS 3.1 sehingga 256GB. Peranti ini juga dilengkapi ruang wap (vapor chamber) dengan sink haba graphene putih yang dapat mengawal suhu peranti ketika bermain game. Ia juga mempunyai antena WiFi gaming serta lampu RGB pada panel belakangnya.

Untuk kamera, ia menggunakan kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Selain itu, terdapat juga bateri 5,065 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W. POCO F3 GT juga menggunakan antara muka MIUI 12.5 atas perisian Android 11. Ia juga hadir dengan ciri kalis air IP53 dan ditawarkan dengan dua pilihan warna, Predator Black (hitam) dan Gunmetal Silver (perak).

Berikut adalah butiran mengenai harganya:

Buat masa ini, tiada lagi berita mengenai kehadiran POCO F3 GT ke pasaran Malaysia. Apa yang kami tahu adalah POCO Malaysia bakal melancarkan POCO X3 GT pada rabu hadapan, 28 Julai.

Anda berminat dengan peranti ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version