Site icon TechNave BM

POCO M6 Pro rasmi di Malaysia, miliki cipset Helio G99-Ultra dan RAM 12GB bermula RM999

POCO sebelum ini telah melancarkan M6 Pro 5G Ogos lalu di India dengan cipset Snapdragon 4 Gen 2, skrin LCD 90Hz, kamera dwi 50MP dan bateri 5,000 mAh dengan pengecasan 18W. Kini, POCO mengumumkan secara rasmi bahawa M6 Pro versi 4G tersedia untuk pasaran Malaysia.

POCO M6 Pro yang ditawarkan di Malaysia dikuasakan oleh cipset Helio G99-Ultra yang bermaksud ia terhad kepada sambungan LTE. Ia menggunakan sistem operasi HyperOS berasaskan Android 13 dan mempunyai RAM sehingga 12GB serta storan 512GB yang boleh dikembangkan.

Peranti ini menampilkan skrin AMOLED FHD+ 6.67 inci dengan kadar segar semula 120Hz, dilindungi oleh Gorilla Glass 5, pengimbas cap jari bawah skrin dan lubang tebuk berpusat untuk kamera swafoto 16MP. Di bahagian belakang, terdapat tiga kamera yang terdiri daripada kamera utama 64MP, ultralebar 8MP dan makro 2MP.

Kamera utama mempunyai OIS dan dan dilengkapi dengan ciri yang dipanggil Kamera Filem dengan pilihan 12 penapis (filter) filem dan lapan bingkai filem. Sorotan utama POCO M6 Pro yang lain termasuk bateri 5,000 mAh dengan sokongan pengecasan 67W (0-100% dalam 44 minit), USB-C dan penarafan IP54. 

Telefon pintar ini juga mempunyai dwi pembesar suara, bicu fon kepala 3.5mm, blaster IR dan cip NFC. Untuk harga, POCO M6 Pro varian 8/256GB akan berharga RM999 (promosi RM839) manakala varian 12/512GB berharga RM1,199 (promosi RM1,039). Selain itu, POCO M6 Pro tersedia dalam tiga warna iaitu Hitam, Biru dan Ungu.

POCO M6 Pro

Dari 11 hingga 18 Januari, pembelian awal akan mendapat harga promosi eksklusif untuk model ini yang tersedia di platform Shopee dan Lazada. POCO M6 Pro akan tersedia secara rasmi mulai 19 Januari 2024.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan POCO M6 Pro ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version