Xiaomi baru-baru ini telah melancarkan POCO M7 secara rasmi di Malaysia, kira-kira lima bulan selepas model Pro diperkenalkan. Telefon ini menyasarkan pengguna muda yang mahukan prestasi seimbang, hiburan berkualiti dan reka bentuk moden dengan bajet berhemah.
POCO M7 menampilkan modul kamera menegak dengan kamera utama 50MP serta satu lagi sensor tambahan yang tidak didedahkan (kemungkinan sensor kedalaman) pada bahagian belakang. Bahagian hadapan pula dilengkapi skrin besar 6.9 inci DotDisplay beresolusi FHD+ (2340 x 1080px), kadar segar semula sehingga 144Hz, kadar sentuhan sehingga 288Hz, kecerahan puncak 850 nits dan kamera swafoto 8MP dalam lubang tebuk.
Telefon ini juga menawarkan ciri tambahan seperti ketahanan IP64 daripada percikan air dan habuk, pembesar suara dengan sokongan Hi-Res Audio dan Dolby Atmos serta pengimbas cap jari pada sisi. POCO M7 dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 685 4G yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 256GB yang boleh dikembangkan sehingga 2TB melalui kad microSD.
Baterinya berkapasiti 7,000mAh dengan pengecasan pantas 33W melalui port USB-C yang turut disertakan. POCO M7 menyokong Wi-Fi dwi-jalur, Bluetooth 5.0, NFC dan menjalankan sistem operasi HyperOS 2.0 berasaskan Android 15.
Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, biru dan perak. Untuk promosi awal, ia dijual pada harga RM469 bagi model 6/128GB manakala RM559 untuk model 8/256GB. Selepas promosi berakhir, harga akan kembali kepada RM499 dan RM599. Untuk pasaran Malaysia, POCO M7 boleh didapati melalui laman rasmi Xiaomi Malaysia serta kedai rasmi POCO di Shopee dan Lazada.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

