Site icon TechNave BM

POCO Pad X1 dan Pad M1 akan dilancar pada 26 November 2025 bersama POCO F8

Sebelum ini, POCO mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar flagship POCO F8 pada hari Rabu, 26 November 2025 di Indonesia. Kini jenama teknologi itu turut mengumumkan bahawa dua buah tablet baharu akan turut dilancar bersama telefon tersebut iaitu POCO Pad X1 dan POCO Pad M1.

Dalam X, POCO telah berkongsi rekaan luaran tablet ini serta beberapa spesifikasi ringkas. Pad X1 akan dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 7+ Gen 3 dan skrin beresolusi 3.2K dengan kadar segar semula 144Hz, membuatkannya setaraf dengan tablet kelas pertengahan.

POCO menggunakan cogan kata “Powerfully Slim” untuk tablet ini bagi mencerminkan rekaannya yang nipis, namun POCO masih belum berkongsi ukuran spesifik untuk kenipisannya. Selain itu, ia mungkin akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu kelabu dan biru.

Sementara itu, POCO Pad M1 pula mempunyai saiz skrin yang agak besar iaitu 12.1 inci dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula 120Hz. Kapasiti baterinya pula sangat besar iaitu 12,000mAh, jadi ia pasti boleh bertahan lama.

Kedua-dua tablet mempunyai empat pembesar suara dengan Dolby Atmos dan pengiktirafan Hi-Res Audio.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version