Site icon TechNave BM

Polis akan gunakan iCOPS dan radar kereta untuk mengawal trafik Hari Raya

Sambutan Hari Raya Aidilfitri kian menjelma dan memandangkan rakyat Malaysia kini boleh merentas negeri untuk pulang ke halaman, keadaan lebuh raya di seluruh negara pasti akan sesak dengan jutaan kenderaan.

Bagi membantu penguatkuasaan undang-undang trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan teknologi Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) dan radar kereta (in-car radar) untuk mencari pesalah trafik serta penjenayah.

Ini adalah sebahagian daripada Op Selamat yang bakal berlangsung pada 29 April hingga 8 Mei 2022 di seluruh negara. Radar ini membolehkan semua kereta peronda polis untuk mengimbas nombor pendaftaran kereta dan mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

Teknologi pengimbas iCOPS yang digunakan oleh polis

Selain itu, iCOPS pula boleh mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik. PDRM akan melengkapkan teknologi ini dalam kenderaan dan ia tidak akan dihadkan dalam satu lokasi sahaja.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, mereka yang mempunyai waran tangkap atau saman tertunggak akan ditahan serta-merta di jalanraya dan akan dibawa ke balai polis terdekat untuk tindakan selanjutnya.

TechNave berharap para pembaca akan kekal selamat sewaktu pulang ke kampung halaman dalam musim perayaan ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version