Site icon TechNave BM

Polis ingatkan rakyat urusan kerajaan tidak dilakukan melalui telefon, jangan terpedaya dengan “scam”

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah tertipu dengan sindiket penipuan Macau Scam yang sering menyamar sebagai agensi kerajaan melalui telefon. PDRM menjelaskan bahawa agensi kerajaan seperti balai polis dan mahkamah tidak akan berurusan melalui panggilan telefon melibatkan akaun bank, tangkapan dan kes jenayah.

Melalui satu teknik yang bernama spoofing, scammer boleh menyamar sebagai polis atau mana-mana pihak berkuasa dengan platform Suara Melalui Protokol Internet (VoIP), di mana mereka boleh menyalin nombor telefon jabatan-jabatan kerajaan untuk menghubungi mangsa. Nombor yang tertera pada skrin mangsa akan menjadi sama dengan nombor pihak polis sebenar, menjadikan mangsa mudah terpedaya dan panik.

Scammer mampu menyamar sebagai pelbagai agensi kerajaan seperti polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Scammer akan menakut-nakutkan mangsa agar mangsa menyerahkan maklumat peribadi dan perbankan.

PDRM menggesa rakyat untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah scammer melalui talian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil 013-2111222. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Utusan Malaysia

Exit mobile version