Site icon TechNave BM

Populariti The Witcher 3 kini lebih tinggi berbanding sewaktu pelancarannya

The Witcher 3

Selalunya populariti game yang dimainkan seorang (single-player) akan menurun dengan perlahan-lahan selepas pelancarannya kerana nilai main semula (replayability) yang tidak setinggi game multi-pemain. Namun corak yang sama tidak boleh dikatakan untuk The Witcher 3: Wild Hunt, sebuah game RPG yang diterbitkan pada 2015.

Empat tahun selepas pelancarannya, game itu berjaya mencatat rekod pemain serentak tertinggi pada 29 Disember 2019 menurut satu tweet daripada pengarah komuniti CD Projekt Red, Marcin Momot. Peningkatan pemain ini tentunya datang daripada kejayaan siri Netflix The Witcher yang telah pun mendapat tempat dalam 10 siri paling popular untuk tahun 2019 dalam perkhidmatan pelayaran itu.

Malah, dengan harga murah sempena jualan akhir tahun di Steam dan GOG, ternyata siri Netflix yang dibintangi Henry Cavill itu telah berjaya menarik lebih banyak peminat untuk cuba memainkan The Witcher 3. Untuk para peminat di Malaysia, game ini dijual serendah RM31.19 sahaja di Steam sempena jualan Krismas sehingga 3 Januari.

Adakah anda juga seorang peminat The Witcher? Kongsikan pendapat anda tentang francais hebat ini dalam Facebook kami dan terus setia bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita permainan video dan teknologi terkini.

Sumber: Marcin Momot Twitter

Exit mobile version