Pos Malaysia memulakan projek perintis bagi mengintegrasikan kenderaan autonomi dalam operasinya dengan tujuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengendalian bungkusan serta surat khususnya dalam operasi dalaman fasiliti. Inisiatif ini antara penggunaan terawal teknologi pemanduan autonomi dalam sektor perkhidmatan pos di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata projek tersebut akan dilaksanakan sebagai bukti konsep (POC) di Pusat Mel Nasional, Shah Alam. Tempoh ujian dijangka berlangsung antara tiga hingga enam bulan tertakluk kepada kelulusan akhir daripada Kementerian Pengangkutan. Menurut beliau, pelaksanaan awal ini bertujuan menilai potensi penggunaan sistem autonomi dalam logistik pos sebelum sebarang peluasan skala dilakukan.
Projek ini juga mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, MIMOS dan Digital Nasional Berhad yang mencerminkan usaha bersama untuk membawa teknologi baharu ke dalam sektor perkhidmatan tradisional.
Pada peringkat awal, penggunaan kenderaan autonomi akan difokuskan kepada laluan pertengahan seperti pergerakan mel antara Pusat Mel Nasional dan pejabat pos utama dan bukan untuk penghantaran terus ke rumah pengguna. Kejayaan pelaksanaan projek ini bergantung kepada ketersediaan infrastruktur digital yang mencukupi termasuk liputan 5G yang stabil selari dengan perancangan kerajaan membangunkan dasar infrastruktur digital nasional.
Mengulas kebimbangan berkaitan tenaga kerja, Fahmi menegaskan penggunaan teknologi autonomi tidak akan menyebabkan kehilangan pekerjaan. Sebaliknya, pekerja akan melalui proses latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin kompleks.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

