Site icon TechNave BM

Poster realme GT muncul, sah hadir dengan kamera 64MP, bicu audio 3.5mm

Pagi tadi, kami melaporkan mengenai reka bentuk telefon realme GT yang telah tertiris berikutan acara Mobile World Congress (MWC) yang akan berlangsung esok. Kini, poster rasmi untuk realme GT pula telah muncul dan ianya menunjukkan beberapa spesifikasi penting peranti ini.

Berdasarkan poster ini, kita dapat lihat versi kaca untuk realme GT. Ia dikhabarkan akan hadir dengan dua versi iaitu versi kaca dan versi kulit. Reka bentuk versi kulit telah pun kami tunjukkan pada artikel sebelum ini.

Pelakon dan penyanyi dari China, Yang Mi memegang realme GT versi kaca

Jika dilihat pada poster ini, realme GT hadir dengan kamera utama 64MP dengan dua lagi kamera lain. Kami menjangkakan dua kamera ini adalah kamera ultra lebar dan kamera makro (mungkin telefoto).

Pada bahagian bawah pula, ia masih mengekalkan bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara.

Gambar rasmi realme GT

Berdasarkan sumber sebelum ini, realme GT dikhabarkan akan hadir dengan skrin AMOLED 120Hz, cipset Snapdragon 888 dan pengecasan pantas 65W. Ia juga dikatakan akan hadir dengan RAM 12GB dan storan 256GB jenis UFS 3.1.

Yang menarik, terdapat juga spekulasi yang menyatakan terdapat versi Pro untuk realme GT yang mungkin hadir dengan skrin 160Hz, cipset Snapdragon 888 bersama pengecasan pantas UltraDart 125W.

Adakah anda menantikan peranti andalan realme ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version