Site icon TechNave BM

Pra-pesanan Sony Xperia 1 II di Malaysia kini dibuka, terhad kepada 15 unit sahaja

Sebelum ini Sony Mobile Malaysia telah mengumumkan harga rasmi telefon pintar flagship Xperia 1 II di Malaysia iaitu RM4,999. Kini peminat Sony Xperia tempatan boleh membuat pra-pesanan untuk telefon tersebut bermula hari ini di laman Shopee Sony Malaysia.

Daripada laman tersebut, pra-pesanan hanya akan dibuka sebanyak 15 unit sahaja jadi ini adalah peluang yang tentunya akan habis dengan cepat. Setiap pra-pesanan akan disertakan dengan sepasang fon telinga wayarles Sony WF-1000XM3 secara percuma.

Telefon akan dihantar 30 hari selepas pelanggan membuat pra-pesanan. Sekilas lalu, Xperia 1 II merupakan sebuah telefon pintar yang sarat dengan fungsi fotografi profesional seperti jejakan autofokus mata (eye-tracking AF), jejakan autofokus bersambungan (continuous AF) dan kadar 20 gambar saat. Spesifikasinya pula terdiri daripada komponen flagship seperti Snapdragon 865 dan skrin OLED 4K HDR 6.5 inci. Untuk maklumat lanjut tentang telefon ini, baca artikel pelancarannya di sini.

Fon telinga tersebut adalah antara yang terbaik dalam pasaran, jadi kami berpendapat bahawa tawaran terhad ini adalah sangat menarik. Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli Xperia 1 II kelak dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version