Site icon TechNave BM

Pra-tempahan Nothing Ear (open) dibuka di Malaysia, berharga RM659

Nothing Malaysia memperkenalkan fon telinga baharu yang direka sebagai fon telinga stereo wayarles terbuka (open wearable stereo, OWS) pertama daripada syarikat itu iaitu Nothing Ear (open). Pra-tempahan untuk fon telinga ini telah pun dibuka di Malaysia dan ia akan dijual pada harga RM659.

Sebagai produk OWS, ia direka khas supaya pemakai boleh mendengar muzik dengan audio berkualiti tinggi sambil mengekalkan kesedaran terhadap situasi sekeliling mereka. Ia menggunakan sistem Open Sound Technology and Sound Seal System yang dibina oleh Nothing untuk mengelakkan sebarang kebocoran bunyi.

Nothing Ear (open)
Bekas pengecas Nothing Ear (open)

Ia mempunyai reka bentuk yang ringan dan ringkas, dengan berat 8.1 gram sahaja untuk sebelah fon telinga. Bekas pengecasnya pula mempunyai ketebalan 19mm, menjadikannya antara yang ternipis dalam kategori OWS dan mudah disimpan di mana-mana seperti poket atau beg.

Fon telinga ini mempunyai rekaan cangkuk yang menghasilkan pemakaian selesa pada telinga dan sesuai dipakai sepanjang hari. Ia juga disepadukan dengan ChatGPT dalam aplikasi Nothing X supaya anda boleh dapatkan informasi dengan lebih cepat.

Daripada segi bateri, ia boleh bertahan sehingga 30 jam apabila digabungkan dengan bateri dalam bekas pengecas. Sementara itu, pengecasan selama 10 minit sahaja sudah cukup untuk menyediakan penggunaan selama dua jam.

Ciri-ciri lain termasuklah Clear Voice Technology untuk merakam suara anda dengan lebih jelas sewaktu membuat panggilan telefon, Dual Connection untuk hubungan kepada dua peranti serentak dan Low Lag Mode untuk audio yang responsif sewaktu bermain game.

Pra-tempahan untuk Nothing Ear (open) boleh dibuat di laman rasmi Nothing dalam Shopee atau Lazada, manakala jualan rasmi akan bermula pada 14 Oktober 2024.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fon telinga ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version