Site icon TechNave BM

Pra-tempahan OnePlus Nord 4 di Malaysia kini dibuka, bermula RM2,599

OnePlus Nord 4 telah dilancar di Milan, Itali pada 16 Julai lalu dan akhirnya, kini ia ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Pra-tempahan untuknya akan berlangsung pada 23 hingga 30 Ogos 2024, dengan harga pasaran RM2,599.

Telefon ini adalah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 7+ Gen 3, RAM 16GB, storan dalaman 512GB dan bateri 5,500mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 100W. Di hadapan, ia mempunyai skrin Super Fluid AMOLED berukuran 6.74 inci dengan kamera swafoto 16MP manakala di belakang pula kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 8MP.

Sistem operasinya menggunakan Android 14 dengan antara muka Oxygen OS 14.1 dan seperti kebanyakan telefon yang dilancar pada 2024, ia dilengkapi beberapa fungsi AI seperti AI Groupfie, AI Audio Summary, AI Eraser, AI Article Summary dan AI Clear Face. OnePlus mengatakan telefon ini akan menerima kemas kini Android utama selama empat tahun dan kemas kini keselamatan selama enam tahun.

Untuk rekaan luaran pula, Nord 4 mempunyai rating kalis air dan debu IP65 serta akan dijual dalam tiga warna iaitu Oasis Green, Mercurial Silver dan Obsidian Midnight.

Pelanggan boleh membuat pra-tempahan di OnePlus E-Store, Lazada atau Shopee, dan setiap pra-tempahan akan menerima pengecas OnePlus 100W (bernilai RM199) secara percuma. Sementara itu, mereka yang membuat pra-tempahan di OnePlus E-Store, Direct D atau mana-mana kedai OnePlus Brand Stores akan menerima diskaun tambahan sebanyak RM100.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version