Site icon TechNave BM

Pra-tempahan untuk iPhone 12 capai dua kali ganda lebih tinggi berbanding iPhone 11

Selepas Apple melancarkan siri iPhone 12 pada minggu lepas, telefon pintar itu telah mendapat sambutan meluas di kalangan pengguna. Walaupun Apple memutuskan untuk tidak menyertakan pengecas dalam iPhone kali ini, nampaknya itu tidak menjejaskan permintaan daripada pelanggan kerana menurut laporan terbaru, pra-pesanan untuk iPhone 12 dan iPhone 12 Pro telah menjangkaui jangkaan awal oleh para penganalisis.

Menurut penganalisis industri telefon pintar ternama Ming-Chi Kuo, beliau pada asalnya menjangkakan iPhone 12 asas akan mendominasi jualan dengan tempahan sebanyak 40-45% daripada seluruh tempahan siri iPhone 12. Walau bagaimanapun, minat yang sangat tinggi terhadap iPhone 12 Pro membuatkan beliau menilai kembali jangkaan tersebut.

Kini Kuo mengatakan tempahan untuk iPhone 12 dan iPhone 12 Pro masing-masing mencatat tempahan sebanyak 30-35%. Di samping itu, beliau turut menurunkan jangkaan tempahan untuk iPhone 12 mini daripada 20-25% kepada 10-15%.

Apabila dibandingkan dengan pra-pesanan iPhone 11 pula, iPhone 12 mencatatkan angka dua kali ganda lebih tinggi. iPhone 12 mencatatkan tempahan sebanyak 1.7-2 juta unit dalam masa 24 jam sejak ia dilancarkan, dua kali lebih tinggi daripada 500-800 ribu unit untuk untuk iPhone 11 dalam tempoh masa yang serupa pada tahun lepas.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 9to5 Mac, Mac Rumors

Exit mobile version