Site icon TechNave BM

Prasarana lancarkan promosi pas bulanan My30 Beli 1 Percuma 1, terhad kepada 8,333 pas sahaja

Buat mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, Prasarana telah mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan promosi Beli 1, Percuma 1 untuk pas bulanan My30 bermula hari ini (21 Disember) hingga 31 Mac 2021. Langkah ini diambil bagi meningkatkan pelancongan domestik di kalangan rakyat Malaysia.

Mereka yang berminat untuk membeli pas promosi ini boleh dibeli di kaunter pelanggan dalam setiap stesesn LRT, MRT, monorel, BRT dan lapan hab bas di Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama. Walau bagaimanapun, pas tambahan My30 percuma hanya boleh dituntut di stesen LRT KL Sentral dan hab bas Pasar Seni.

Pas percuma itu juga adalah terhad, di mana hanya 8,333 orang pelanggan pertama yang layak menuntutnya. Tuntutan akan dibuka bermula 17 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021. Pelanggan yang telah membeli pas My30 perlu mengimbas kod QR dan isi borang maklumat untuk tuntutan pas.

Ini tentunya adalah promosi yang baik untuk dikongsi bersama keluarga atau rakan, terutamanya buat mereka yang selalu menggunakan pengangkutan awam. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version